13 October 2013

Mencari Susor Galor.

1. Assalamualaikum. Apa khabar. Saya baik baik sahaja. Masih sibuk dengan kerja-kerja guaman yang tak putus-putus di pejabat. Membaca buku pun sekadar buku buku ringan untuk menghilangkan kepenatan dan dodoian untuk tidur.


2. Entri kali ini tidak ada kena mengena dengan bahan-bahan baru. Hanya sekadar ingin menulis untuk menunjukkan bahawa saya masih hidup dan bernyawa serta memastikan bahawa blog ini aktif. Juga sekadar untuk meluahkan perasaan kepada sahabat-sahabat yang ingin membaca.

3. Seperti ribuan sahabat-sahabat yang lain, saya juga masih menunggu giliran untuk dijemput masuk kedalam MF. Seperti mana yang diketahui oleh semua pembaca, MF merupakan sumber utama saya untuk mendapatkan idea untuk membuat kajian dan galian. Sekiranya membaca MF, saya selalunya gemar melihat kata kunci-kata kunci yang disediakan. Daripada kata kunci ini, saya akan membuat kajian tambahan dan berusaha untuk mendapatkan bahan-bahan yang boleh saya baca dan kaji dan seterusnya digunakan untuk mengemas kini blog ini.

4. Kenapa saya membuat pembacaan dan kajian lanjut? Kerana saya seorang yang boleh lah dikatakan sebagai skeptik dalam hal-hal yang melibatkan sejarah.Bak kata pujangga, sejarah ditulis oleh mereka yang menang. Untuk memastikan kebenaran, kita perlu membaca sejarah dari kedua-dua sisi, yang menang dan juga yang kalah. Jangan lupa juga sisi ketiga, iaitu sisi yang berkecuali.

5. Saya mempunyai minat yang mendalam terhadap sejarah Melayu.Mungkin atas dasar bahawa saya seorang melayu. Tetapi saya mengambil sikap berhati-hati dengan apa sahaja kenyataan yang saya terima berkenaan dengan sejarah Melayu. Saya lebih senang dengan buku-buku. Malah saya kira, ramai pembaca yang sudah tahu bahawa saya hanya akan menulis tentang sejarah Melayu yang bertulis dan mempunyai rekod.

6. Saya faham, majoriti buku-buku yang saya rujuk adalah buku-buku hasil tulisan para orientalis, mereka mungkin mempunyai agenda sebaliknya yang kita tidak tahu dan mungkin juga tidak. Tapi karya-karya mereka, bagi saya, amat-amatlah berharga dikala pengkaji arus utama (mainstream) dikalangan rakyat tempatan hari ini, agak terkebelakang sedikit dalam arena pengkatalogan sejarah negara.

7. Ini membawa kita kepada luahan perasaan saya pada entri kali ini. Apabila kita membuat kajian sejarah yang berbentuk Bangsa, terutamanya bangsa melayu, tidak boleh tidak, akan ada pihak-pihak yang prejudis dan menaruh rasa benci dengan giat-giat proaktif pengkaji-pengkaji alternatif ini. Kononnya pengkaji-pengkaji ini adalah supremasis melayu (Malay supremacist) dan rasis.

8. Bagi saya secara khususnya, tidak pernah ada sekelumit pun rasa ego melayu bilamana saya memulakan blog ini. Saya memulakan blog ini kerana saya meminati sejarah dan oleh kerana saya dilahirkan sebagai Melayu maka "by default" saya ingin mengetahui tentang sejarah silam bangsa saya. Saya percaya, ramai juga yang berpendirian sebegitu.

9. Adakah hanya kerana saya meminati sejarah bangsa melayu maka saya harus dilabel sebagai rasis dan supremasis melayu? Adakah saya perlu mengkaji bangsa mongol hanya kerana saya tidak mahu dilabel sebagai rasis? Bukalah minda dan pemikiran wahai sahabat-sahabat yang prejudis dan rasis almari (closet racist). Ini hanya minat dan tidak lebih daripada itu.

10. Ada juga sahabat-sahabat yang prejudis ini mendakwa saya mereka-reka cerita-cerita yang saya tulis didalam blog ini. Setiap satu fakta/teori/tesis yang saya kemuka kan didalam blog ini, majoritinya saya cedok dan terjemah daripada buku-buku tulisan pengkaji-pengkaji terdahulu. Dan setiap judul buku tersebut akan saya sebutkan bagi memudahkan sahabat-sahabat lain membuat kajian mereka sendiri.

11. Saya tidak pernah gemar untuk menulis tentang sesuatu yang tidak berbuku. Sebab itu hasil-hasil kajian saya sedikit terhad kerana saya memilih kredibiliti fakta yang saya terima. Saya rasa satu-satunya entri yang saya tulis yang mana kandungannya tidak merujuk kepada mana-mana buku adalah entri tentang Majapahit 2 dan wau bulan. Saya berkira-kira juga untuk tidak menerbitkan entri tersebut atas alasan kredibiliti, tetapi kerana ianya adalah sesuatu yang dekat dengan saya (faktor kenegerian), saya berharap dengan terbitnya entri tersebut, ada pembaca yang boleh memberikan saya keterangan-keterangan yang lebih kukuh dan berkredibiliti berkenaan dengan sejarah tersebut. 

12. Saya katakan sekali lagi, apa sahaja yang saya tulis disini adalah berdasarkan buku-buku hasil kajian-kajian pengkaji-pengkaji terdahulu. Tidak pernah walau sekalipun saya menyembunyikan sumber saya. Saya sertakan sekali judulnya didalam semua rencana saya, dengan harapan ada sahabat-sahabat yang akan membuat kajian mereka sendiri berdasarkan sumber-sumber yang saya berikan.

13. Saya juga tidak mengatakan apa yang saya tulis didalam blog ini adalah fakta dan perlu diterima sebagai benar. Tidak. Saya hanya melontarkan persoalan dan apa yang saya dapat cedok daripada pengkaji-pengkaji yang berbeza, dengan harapan agar pembaca Susor Galor akan membuat kesimpulan mereka sendiri.

14. Pendirian saya mengenai bangsa melayu adalah jelas. Apa ada pada bangsa? Hanya kerana saya berbangsa melayu, ianya tidak beerti bahawa saya lebih baik dari sahabat-sahabat dari bangsa-bangsa lain. Kita semua sama di mata Pencipta Agung. Pada akhir hari, kita semua akan diadili berdasarkan amalan kita dan bukan berdasarkan warna kulit kita. Apa ada pada bangsa? Sejarah. Misteri. Pengetahuan. Kekaguman. Tidak salah untuk kita ingin mengetahui tentang sejarah, misteri, pengetahuan dan kekaguman bangsa kita sendiri.

15. Bukankah Tuhan menciptakan kita terdiri dari pelbagai nusa dan bangsa? Pernah kita bertanya kenapa? Apa hikmah disebaliknya? Untuk kita berkenal-kenalan, berinteraksi dan mendapatkan pengetahuan. Tetapi bukankah kita masih lagi boleh berkenal-kenalan, berinteraksi dan mendapatkan pengetahuan diantara satu sama lain sekiranya Tuhan tidak menciptakan kita terdiri dari pelbagai bangsa sekalipun? Jawapannya ya. Jadi kenapa kita diciptakan dalam bentuk pelbagai bangsa? Lihat betapa agungnya perancangan Tuhan.

16. Oleh yang demikian, usah terlalu cepat untuk prejudis hanya kerana ada segelintir daripada kita (termasuk saya) yang mempunyai minat yang mendalam terhadap sejarah bangsa saya. Ianya hanya sejarah. Supaya kita boleh belajar daripadanya. Apatah lagi kata pujangga: Sesiapa yang tidak belajar dari sejarah, pasti akan mengulangi kesilapannya. Kita belajar, kita peroleh pengetahuan dan yang mana baik kita jadikan tauladan, dan yang mana tidak baik, kita jadikan sempadan. Pokok pangkalnya: diri sendiri.

17. Menarik bukan? Tak menarik kepada mereka-mereka yang telah tersemai rasa benci, prejudis, judgmental dan yang tidak mempunyai jati diri.

5 comments:

  1. Salam 'Aidiladha Tuan.

    Lama betul tak menulis.

    Pape pun, saya amat bersetuju dengan perkara No. 4.

    Selalu fikir sedemikian...

    ReplyDelete
  2. Salam Aidiladha buat tuan juga. Terima kasih kerana sudi melawat walaupun saya update jarang jarang.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih saudara nor hafeez..
    Rindu nak dengar maklumat baru..pedulikan suara2 sumbang, mereka boleh bersuara kenapa kita tidak boleh di NEGARA sendiri?

    ReplyDelete
  4. Salam sdr Nor hafeez, saya begitu tertarik dengan hujahan sdr berkait dengan sejarah dan budaya yang wujud di Alam Melayu. Sebagai seorang kurator muzium, maklumat yang dikemukakan oleh sdr Nor Hafeez dalam blog sdr amat membantu saya memahami artifak-artifak yang berkait dengan Alam Melayu. Ingin sekali saya berhubung dengan Sdr melalui email. Di sini saya letakkan email saya dan saya harap sdr dapat berhubung dengan saya melalui email ini. nasrul_kromox98@yahoo.com. Terima kasih.

    ReplyDelete
  5. hello sir,
    please write again.

    tq.

    ReplyDelete