26 September 2011

Srivijaya Siri Tiga - Sanfotsi dan Rekod-Rekod dari Dinasti-Dinasti China.

1- Nama Sanfotsi mula muncul didalam catitan-catitan sejarah negara China pada tahun 904 dan terus menerus digunakan sehingga ke kurun 14 pada zaman Dinasti Ming. Ferrand berpendapat bahawa Fotsi merupakan sebutan cina bagi perkataan Vijaya namun ahli sejarah tidak sebulat suara menerima dakwaan yang mengatakan bahawa perkataan San merupakan kesilapan tulisan untuk satu perkataan cina yang membawa maksud Sri.

2- Namun fakta yang diterima oleh para cendekia sejarah adalah Sanfotsi dan Srivijaya adalah kerajaan yang sama. Ini adalah berikutan catitan yang menunjukkan bahawa Cudamanivarman dan anaknya Maravijayottungavarman digelar sebagai penguasa-penguasa kerajaan Srivisaya Kataha didalam manuskrip Layden dan individu-individu yang sama juga digelar sebagai raja-raja Sanfotsi didalam catatan Song. Ini diperkuatkan lagi dengan senarai kawasan jajah takluk Sanfotsi sebagaimana yang telah diberikan oleh Chau Ju Kua pada 1225 adalah kawasan-kawasan yang sama ditakluki oleh kerajaan Srivisaya Kataha sepertimana yang terdapat didalam Inskripsi Rajendra Chola yang ditemui Tanjore.

3- Chau Ju Kua seterusnya mengatakan bahawa Sanfotsi terletak di satu kawasan dimana ia mengawal selat yang perlu digunakan oleh pelayar-pelayar samada dari barat ke China atau dari China ke barat, deskripsi yang dapat kita simpulkan sebagai merujuk kepada Palembang, pusat pemerintahan Srivijaya.

4-  Chau Ju Kua/Zhao Rugua  merupakan seorang pegawai yang ditugaskan untuk menjaga dan mentadbir urusan perniagaan antarabangsa pada zaman Dinasti Song. Beliau menyimpan rekod-rekod perniagaan dan perdagangan yang diadakan diantara kerajaan China dan kerajaan-kerajaan luar seperti Arab, India dan Asia Tenggara didalam nota yang dipanggil Chu Fan Chi/Zhufan Zhi (Record of Foreign Nations). Rekod yang terbahagi kepada dua jilid tersebut bukan sahaja mengandungi catatan berkenaan dengan hubungan perdagangan dan diplomatik serta senarai barang-barang dagangan, malah turut disertai dengan rekod mengenai kerajaan-kerajaan dan sosio ekonomi kerajaan-kerajaan tersebut.


5- Ju Kua menjelaskan bahawa pedagang-pedagang daripada Sanfotsi tidak mempunyai matawang khusus namun menggunakan keratan-keratan perak dan emas didalam perniagaan. Didalam menyediakan dokumen-dokumen rasmi, mereka menggunakan bahasa asing (sanskrit) dan cincin diraja sebagai cop mohor. Mereka juga diketahui mampu menggunakan bahasa cina melalui memorial-memorial berbahasa cina yang dihantar ke istana. 

6- Ju Kua juga menjelaskan bahawa undang-undang di Sanfotsi sangat berat dimana pasangan yang melakukan zina akan dihukum bunuh.Antara rekod yang paling menarik adalah, Ju Kuan juga menyenaraikan wilayah-wilayah dibawah kekuasan Sanfotsi. Antaranya adalah Pong Fong (Pahang), Tong Ya Nong (Terengganu), Ling Ya Si Kia (Langkasuka), Ki Lan Tan (Kelantan), Tan Ma Ling (Ligor/Tambralingga), Pa Lin Fong (Palembang), Sin To (Sunda), Lan Wu Li (Lamuri/Aceh) dan Si Lan (Ceylon).

7- Menurut Ferrand, pada sekitar kurun ke 14, Song Che, pemerintah Sanfotsi menggunakan gelaran Tchan Pei. Wakil kedutaan dari pemerintah tersebut telah belayar ke China pada tahun 904. Menurut Ferrand lagi, pada tahun 980 dan 983, pemerintah yang menghantar kedutaan ke China telah didapati menggunakan gelaran Haji. Penguasa bernama Haji Sumaterabhumi dilaporkan memerintah sehingga tahun 1017. Gelaran Sri Maharaja digunakan semula pada tahun 1156.

8- Para ahli sejarah bersetuju bahawa adalah fakta dimana penguasa Sanfotsi ini juga dirujuk sebagai pemerintah Tchan - Pei (Jambi), Penguasa kepada Sumatra dan Maharaja kepada Pa Lin Fong (Palembang). Srivijaya seterusnya diperintah oleh raja-raja Sailendra pada kurun ke 10. Hubungan diplomasi diantara Srivijaya dan China berterusan sehingga ke kurun ini.

9- Pada tahun 963, seorang pendita Buddha bernama Fa-Yu telah singgah ke Sanfotsi didalam perjalanannya dari India, untuk mengumpul kitab-kitab Buddha dan menuju pulang ke China. Di Sanfotsi, beliau bertemu dengan seorang sami Hindu tempatan yang bernama Vimalasri (Mi-Mo-Lo-Che-Li) yang telah menyatakan keinginannya kepada Fa-Yu untuk mengikutinya ke negara China dan bersama-sama menterjemahkan kitab-kitab tua bersama Fa-Yu.

10- Maharaja China telah menitahkan Fa-Yu untuk hadir dan berkhidmat sebagai Penasihat Di Raja namun setelah beberapa lama, Fa-Yu telah menyatakan keinginannya untuk kembali ke India. Sebelum berlepas ke India, Fa-Yu diamanahkan untuk menyampaikan beberapa surat daripada Maharaja China kepada Sseu Ma Ki Mang, pemerintah Ko Kou Lo, kepada Tsan Tan Lo pemerintah Ko-lan, kepada Mou t'o Sien seorang putera raja sebuah kerajaan di India Barat dan kepada Haji, pemerintah Sanfotsi.

11- Menarik bukan?

3 comments: