10 September 2011

Sejarah - Untuk Dimanipulasi Atau Dipelajari?

1- Sebelum kita melompat tentang Srivijaya, tidak dapat tidak, isu ini perlu juga saya sentuh atas dasar tanggungjawab seorang peminat sejarah. Saya bukanlah seorang pakar sejarah ataupun mempunyai kualifikasi khusus dalam bidang yang melibatkan sejarah, tetapi sebagai seorang peminat sejarah, satu perkara yang paling membuatkan saya bosan, muak dan jelik adalah apabila terdapat segelintir individu-individu yang menggunakan sejarah untuk kepentingan peribadi lebih-lebih lagi kepentingan politik, tidak kira dari pihak yang mana.



2- Sejarah adalah pelajaran dan pengetahuan, tidak kira siapa yang menulisnya, pihak yang kalah ataupun pihak yang menang. Tugas kita adalah mendakap sejarah, mengkaji tauladannya dan menjauhi sempadannya. Menggunakan sejarah untuk kepentingan politik adalah amat menjelikkan, dan saya kira ramai pembaca SusorGalor yang sudah penat dengan saga Mat Indra dan penglibatannya didalam Parti Komunis Malaya yang menghiasi dada-dada akhbar sejak beberapa hari ini.

3- Saya tidak ada masalah sekiranya kedudukan beliau ingin dikaji semula sekiranya mempunyai sebab-sebab yang kukuh. Namun saya ingin mempersoalkan, dimana keikhlasan individu ini apabila beliau melaung-laungkan keperluan untuk kedudukan Mat Indra dikaji semula? Adakah beliau benar-benar ikhlas ingin memperbetulkan fakta atau sekadar satu tindakan terdesak untuk meraih populariti dan publisiti  politik serta cetusan provokasi murahan demi meraih sehelai dua kertas berpangkah? Selepas Mat Indera siapa pula? Chin Peng barangkali.

4- Sekiranya ikhlas, kenapa sekarang baru isu ini dibangkitkan? Kenapa tidak setahun, dua tahun atau tiga tahun dahulu? Atau mungkin setahun dua tahun yang lalu, sejarah tidak memberi apa-apa kepentingan kepada beliau? Mungkin baru kelmarin beliau mendapati sesuatu yang berguna daripada sejarah untuk kepentingan politiknya? Yang paling menyedihkan apabila terdapat pula anak-anak bangsa melayu yang tidak mampu melihat isu ini dari sudut yang berbeza, tidak mampu mencerna maklumat dan malas untuk membuat kajian dan rujukan lanjut melainkan mengangguk sahaja tanpa usul periksa. Apa yang terpampang di dada akhbar utama, maka itu lah yang diterima sebagai fakta. Ini merupakan kelemahan yang akan menyebabkan bangsa melayu dipijak, dibuli dan tidak mustahil, dihalau dari bumi sendiri.

5- Namun itu lah realiti bangsa melayu hari ini. Lemah, manja dan terlalu senang dimanipulasi oleh pihak lain yang berkepentingan. Sama ada kita sedar atau pun tidak, bangsa melayu hari ini sedang dipijak, dibuli dan dipergunakan oleh pihak-pihak lain. Bertelagah sesama sendiri sedang pihak lain hanya senyum memerhati kedangkalan akal fikir bangsa melayu ini untuk sedar. Itulah realitinya. Bangsa yang pernah menjelajah tujuh lautan, bangsa yang disegani kerana kepakarannya mengemudi lautan ini sedang menuju hari-hari dimana mereka akan merempat dibumi sendiri.

6- Kita tidak boleh lagi mendabik dada mengatakan bahawa bumi ini masih kepunyaan kita. Pada hakikat, ianya sudah hampir terlepas dari genggaman kita. Kenapa? Kerana kita terlalu kerap dibelai dengan kemewahan dan kesenangan. Kita tidak pernah menghargai bantuan yang diberikan kepada kita dengan sewajarnya. Sebaliknya kita hanyut dan mengharapkan segala bantuan dan pertolongan akan berterusan dan tidak akan putus buat selamanya sedangkan bangsa lain terpaksa berhempas pulas untuk hidup. Akhirnya, mereka ternyata menjadi bangsa yang mampu berdiri sendiri walau tanpa pertolongan dari mana-mana pihak. 

7- Usah dibangga kekuatan beradu tenaga, usah dibangga kekuatan dalam bertempur sedangkan yang perlu diperkuatkan adalah jatidiri, kepakaran, daya saing dan pemikiran. Apa yang ingin bibangga-bangga kekuatan tenaga jikalau pada akhirnya sesama anak bangsa sendiri juga yang menjadi mangsa? Apa yang ingin dibangga-bangga kuat bertumbuk dan bersilat kalau pada akhirnya kita tunduk rebah mati kehausan? tepuk dada tanya lah naluri.

8- Rahmat dan nikmat yang paling besar yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada bangsa melayu adalah Islam. Tidak ada satu bangsa pun didalam dunia ini yang mana bangsanya begitu sinonim dengan sesebuah agama. Sebut sahaja melayu, maka secara automatik kita akan mencerna bahawa agamanya pasti islam. Bila mana kita bertelagah tentang ideologi perjuangan yang berbeza, kita tetap bersatu apabila Islam dikuis tunjal. Tapi sayangnya, itu hanyalah suatu masa dahulu.

9- Tidak pernah terbacakah kita tentang peristiwa Natrah atau Maria Huberdina Hertogh, dimana seluruh umat melayu bersatu untuk menyelamatkan akidah seorang anak kecil yang dibuang ibu bapanya. Walaupun Natrah tidak berjaya diselamatkan, namun seluruh dunia melihat bahawa bangsa yang sering dikaitkan dengan kesopanan tingkah laku, kelembutan tutur kata dan ketinggian nilai budi ini bukanlah satu bangsa yang boleh diinjak-injak atau dibuat sesuka hati apatah lagi apabila agamanya cuba dijolok dan diusik. Tapi sayangnya, itu hanyalah suatu masa dahulu.

9- Hari ini? Islam dimanipulasi untuk mencapai kepentingan politik. Ya, benar, Islam tak boleh dipisahkan dari politik. Sudah beribu kali ungkapan tersebut sudah saya dengar. Tapi politik yang bagaimana? Islam ingin disebumbungkan dengan politik yang diamalkan oleh politikus-politikus hari ini? Politik yang penuh carutan, fitnah dan maki hamun ini? Mengislamkan politik dan mempolitikkan islam adalah dua perkara yang berbeza wahai sahabat-sahabat. Mencarut, memfitnah, mencaci dan maki atas nama islam?

10- Dakwah adalah salah satu daripada tanggung jawab setiap orang islam dan dakwah yang paling baik adalah melalui keperibadian dan akhlak. Akhlak yang indah sudah cukup untuk menarik minat sesiapa sahaja mendekati kita tanpa kita perlu membuka mulut walau senganga sekalipun. Namun apabila islam digaulkan dengan kata-kata lucah, fitnah, maki dan hamun, mampukah kita untuk memejamkan mata? Adakah orang-orang ini yang kita harapkan untuk menjadi model pemuka-pemuka akhlak islami dihadapi sahabat-sahabat kita yang bukan beragama islam?

11- Apabila Islam sudah tidak menjadi tunjang, malah menjadi tidak lebih dari seekor keldai untuk ditunggang maka dimana lagi roh kekuatan bangsa kita? Kita membenarkan Islam dipermainkan dan diperkotak katikkan hanya untuk sekeping kertas undi. Kita membenarkan Islam dipijak dan diperlekehkan semata-mata kerana kita dijanjikan dengan kuasa. Berbaloikah?

12- Dimana kita ketika anak-anak melayu mencari sesuap nasi ditangan paderi-paderi di gereja-gereja. Kita terlalu sibuk bertelagah sesama sendiri. Usah salahkan anak-anak itu dan usah juga disalahkan paderi dan gereja. Salahkan diri kita sendiri kerana tidak pernah mahu mengambil tahu atau mengambil berat. Terlalu sibuk mengejar kuasa, pangkat dan harta, baik yang bersongkok atau berserban, baik yang mengaku memperjuangkan bangsa mahupun yang mengaku perjuangkan islam. Bila sudah terlambat baru masing-masing ingin menunjukkan keprihatinan?

13- Maafkan saya kerana tersasar jauh daripada isu sebenar. Tidak berniat untuk bercerita tentang sosio politik bangsa kita tetapi kekecewaan saya tidak mampu terbendung lagi. Baik bila orang-orang luar merendah-rendah bangsa saya mahupun anak bangsa sendiri yang tidak mampu menghargai sejarah bangsanya, saya akan kecewa. Saya yakin, bukan saya sahaja yang mempunyai rasa sebegitu.

14- Walau bagaimana pun, kepada sahabat-sahabat pencinta sejarah diluar sana yang ingin mengenali siapa Mat Indera, saya cadangkan anda mendapatkan buku Pengukir Nama Johor hasil terbitan Yayasan Warisan Johor dan Memoir Abdullah CD yang ditulis oleh beliau sendiri. Kedua-dua buku ini adalah sumber-sumber utama yang digunakan oleh kedua-dua belah pihak didalam mengukuhkan hujah masing-masing namun saya lebih tertarik dengan Memoir Abdullah CD kerana beliau lebih mengenali siapa Mat Indera. Dapatkan seberapa banyak sumber yang boleh. Sebaiknya sekiranya sumber-sumber tersebut adalah buku-buku yang diterbitkan sebelum isu ini timbul. Jalankan sedikit kajian dan buatlah penilaian sendiri.

10 comments:

  1. Jika sesuatu dikuasai, sesuatu itu berkemungkinan dimanipulasi. Manipulasi adalah tindakan mengaplikasi sesuatu yang dikuasai samada secara betul atau tidak betul, baik atau tidak baik, benar atau tidak benar. Ianya lumrah alam...

    M_M

    ReplyDelete
  2. semoga kita diberika kekuatan untuk meneruskan perjuangan..

    tuan benign..teruskan menulis tanpa rasa jemu..amat sedikit sekali anak muda yg sedar situasi yg berlaku skrg ke atas bangsa melayu islam di tanah bertuah ini...

    ReplyDelete
  3. terima kasih diatas dorongan dan semangat tuan...

    ReplyDelete
  4. pada pandangan saya,
    untuk menjawab segala yang tuan lontarkan pada perenggan ke 4 tu, perlu perbincangan dan kupasan yang terperinci bagi menemukan kata yang paling tepat untuk pertanyaan dan persoalan yang tuan lontarkan..
    dan disini,saya ingin ucapkan tahniah pada tuan dan teruskan menulis dan pengkajian.. Zack

    ReplyDelete
  5. Bosan dengan sesetengah ahli politik yang bodoh, bangang, bahalol dan macam kebodohan kerana gilakan sekeping dua kertas undi.....

    ReplyDelete
  6. Paling menyakitkan hati, Ahli Parlimen Pembangkang Manoharan jijik mengibarkan Jalur Gemilang kerana dianggap sinonim dengan BN dan lebih rela mengibarkan bendera DAP dikawasan Parlimennya. Dasar bangsa biadap yang tak tahu berterima kasih. Banyak tutur kata dan perbuatan ahli politik pembangkang menyakitkan dan merosak hancurkan hati orang-orang Melayu.

    ReplyDelete
  7. Saya yakin kalau macam nilah cara Pihak Pembangkang berkempen untuk merebut kuasa Politik Malaysia, saya yakin dengan nama Allah swt..PAS akan hanya tinggal nama saja. Ingatlah bahwa janji2 Allah itu maha benar belaka.

    ReplyDelete
  8. 1- terima kasih kepada para sahabat-sahabat kerana sudi melawat. Bukanlah bermaksud hendak berpolitik mahupun menyokong mana-mana pihak tetapi saya dan saya percaya dikalangan kita yang tidak selesa apabila sejarah dilacurkan untuk kepentingan politik.

    2- jika benar sejarah perlu diubah, maka ubahlah dengan niat yang ikhlas dan sebaiknya. Tiada siapa yang akan menghalang.

    3- Jangan prejudis. Formalkan juga pendapat bahawa orang-orang melayu telahpun berada di tanah ini sejak berkurun-kurun.

    ReplyDelete