04 October 2012

Wau Bulan Teraju Tiga:

Wau Bulan Teraju Tiga.

1. Kerajaan baru sahaja mengumumkan belanjawan negara baru-baru ini. Ada rakan-rakan yang mencemuh, mengeji, mencela dan sebagainya dan ada pula yang tersenyum kerana bakal mendapat habuan dari projek-projek kerajaan yang bakal digerakkan. Orang-orang non partisan seperti saya hanya memerhati dari tepi. Saya tidak mahu menyentuh tentang belanjawan atau situasi politik negara kerana SusorGalor bukanlah blog politik dan tidak akan dijadikan blog politik sampai bila-bila.



2. Tetapi memerhatikan bangsa saya melaung-laung memaki hamun kerajaan kerana tidak berpuas hati dengan pembentangan belanjawan tanpa hujung pangkal baru baru ini membuatkan saya berbisik didalam hati: Rupanya majoriti mentaliti bangsa kita masih berpaksi kepada mentaliti negara dunia ketiga. Masih dengan paradigma lama. Masih menagih bantuan dan subsidi. Masih terpekik terlolong, emosi tak bertempat. Manja. Saya sedih.

3. Apa guna saya dan sahabat-sahabat membongkar sejarah silam bangsa Melayu sebagai bangsa yang pernah menakluk seribu lautan, bangsa yang pernah menjelajah ke setiap penjuru dunia, bangsa yang terkenal dengan bangsa yang hebat berdagang dan berniaga, bangsa yang empayarnya tidak dibina dengan tagihan simpati dan subsidi, sekiranya hari ini kita tidak mahu mengambil roh kegemilangan bangsa ini untuk dijadikan aspirasi dan inspirasi untuk kita berdiri dengan kaki sendiri, dengan lebih gah dan tinggi?

4. Jangan hanya megah dengan sejarah silam, wahai sahabat-sahabat. Jangan hanya gah menggunakan apa yang anda gali dari blog-blog sejarah kegemaran anda untuk bermegah megah dengan sejarah bangsa sekiranya pemikiran anda masih ditakuk lama, masih bersenang-senang dan masih dibelakang mengejar pembangunan jasmani. Jadikan sejarah sebagai platform untuk belajar dan inspirasi untuk berjaya.

5. Baiklah. Seperti biasa, sebelum saya menulis rencana di SusorGalor, saya akan membaca MF dan LG untuk mendapatkan mood dan idea kerana saya suka menggali lebih dalam apa sahaja bahan-bahan yang telah sahabat-sahabat saya ini ketengahkan. Salah satu kata kunci yang menarik perhatian saya adalah Wau Bulan.

6. Permainan wau atau layang-layang adalah kegemaran masa lapang yang popular diseluruh Malaysia, khususnya dinegeri-negeri Pantai Timur. Di kampung saya selalunya, wau-wau akan bergentayangan diudara selepas daripada musim menuai padi. Ini kerana petak-petak sawah akan dikeringkan dan sawah-sawah padi akan bertukar menjadi padang-padang kering yang luas lagi terbentang. Saya dan rakan-rakan  akan sibuk mencari Jarum Mas (sejenis tumbuhan yang boleh digunakan sebagai ubat), manakala orang-orang kampung saya akan mengambil dan menggunakan kesempatan ini untuk menaikkan wau-wau mereka sementara menunggu musim untuk membajak.

7. Terdapat bermacam-macam jenis wau yang dinaikkan. Antara reka bentuk yang paling digemari adalah Wau Daun (berbentuk daun), Wau Kucing (berbentuk seperti muka seekor kucing) dan Wau Bulan (berbentuk bulan). Namun yang paling disebut-sebut adalah Wau Bulan. Apa kaitannya Wau Bulan dengan empayar melayu lama? Saya mula menggali dengan lebih lanjut.

8. Sebelum anda meneruskan pembacaan, kebanyakan sumber-sumber yang saya petik adalah berasaskan lagenda-lagenda dan mitos-mitos sejarah tempatan namun ianya sama sekali tidak boleh diketepikan dengan begitu sahaja. Apa yang perlu difahami mengenai terma mitos dan lagenda adalah; ianya bermula daripada  kejadian (events) yang benar-benar berlaku dizaman silam. Apabila jarak diantara kejadian dan masa semakin panjang, fakta-fakta sejarah akan ditokok tambah dengan elemen-elemen mistik, misteri, tahyul dan sebagainya secara sedikit demi sedikit. Untuk fakta yang lebih dalam, saya sarankan pembacaan tambahan dibuat.

9. Asal-usul Wau Bulan dikatakan bermula daripada seorang raja dari Empayar Srivijaya yang bernama Jaya Sinha. Antara nama-nama gelaran lain yang digunakan oleh Jaya Sinha adalah Sanjaya Putera, Hyang Kamajaya, Raden Inu Kertapati, Panji Asmoro Bangun dan Raden Asmarajaya, namun yang paling terkenal, menurut penulisan-penulisan dan sumber-sumber yang saya rujuk, adalah panggilan Dewa Muda.

10. Di Indonesia, saya mendapati terdapat cerita-cerita rakyat dari Jawa berkenaan dengan watak yang dinamakan Raden Inu Kertapati atau Panji Asmoro Bangun. Anda boleh cuba menggunakan katakunci Keong Emas untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

11. Mengikut apa yang saya baca, setelah kemangkatan Maharaja Srivijaya, Dapunta Hyang Sri Jayanasa, Empayar Srivijaya diperintah secara berasingan dari negara induk, Medang Bhumi, di Jawa tengah (ada pendapat yang mengatakan bahawa Medang Bhumi terletak di Kelantan). Cucunda kepada Dapunta Hyang, Jayasinha telah mengambil inisiatif untuk mengembalikan semula pecahan-pecahan empayar ini untuk disatukan sekali lagi dibawah panji empayar Srivijaya. Rancangan untuk menakluk kembali kawasan-kawasan ini dimulakan.

12. Dikatakan sebelum melancarkan serangan keatas kawasan-kawasan tertentu, Jayasinha akan melakukan pertapaan bagi mendapatkan idea dan strategi untuk menawan kawasan-kawasan tersebut, selain sebagai persediaan mental dan fizikal untuk menghadapi peperangan. Setelah selesai pertapaan, Jayasinha telah membawa bersama kerangka wau bulan. Kerangka wau bulan ini dikatakan terhasil daripada titik titik serangan dan pertahanan yang ditumpukan keatas kawasan-kawasan yang startegik bagi membolehkan penaklukan dilakukan dengan sempurna.

13. Setiap kali berjaya menawan sesuatu kawasan, Jayanasa akan menaikkan wau bulan sebagai petanda bahawa kawasan tersebut telah ditawan oleh kerajaan Srivijaya. Bunyi tali busur yang terdapat pada kepala wau tersebut juga bertindak sebagai amaran kepada kawasan-kawasan berdekatan bahawa bala tentera Srivijaya sedang mengorak langkah dan kini bakal memasuki dan menakluki kawasan-kawasan yang berdekatan tersebut.Setelah kawasan-kawasan ini berjaya disatukan, Jayanasa seterusnya telah mengambil simbol wau bulan untuk dijadikan sebagai lambang kepada kerajaan Srivijaya.

14. Mengikut cerita-cerita rakyat dan transkrip-transkrip permainan wayang kulit, terdapat 13 (ada sumber yang mengatakan 12) unsur pada wau bulan. 13 unsur ini mewakili 13 buah tanah jajahan yang berjaya disatukan oleh Jayanasa daripada Laos, Burma, Siam sehinggalah ke Kepulauan Andaman dan Sulawesi. 13 unsur ini juga mewakili 13 bahasa dan suku yang terdapat dalam kesemua ketiga belas tanah jajahan tersebut.

15. Bahagian atas wau bulan (bahagian badan dan sayap) tersebut dikatakan sebagai mewakili negara-negara daratan yang bercantum dengan tanah besar, manakala bulan sabit (bahagian ekor) yang terletak dibahagian bawah wau tersebut pula mewakili negara-negara kepulauan. Bulatan (bahagian pinggang) yang terdapat diantara badan dan ekor wau tersebut pula merujuk kepada negara pusat yang dinamakan Nusa Kenchana.

16. Wau Bulan diikat oleh 3 tali yang disambungkan kepada satu tali utama yang akan dikawal oleh pemainnya. 3 tali ini dinamakan teraju. Sebab itu, didalam lagi dikir yang dinyanyikan oleh pendikir terkenal Kelantan, Allahyarham Seman Wau Bulan (sekampung dengan saya), nama wau ini dipopularkan sebagai Wau Bulan teraju tiga. 3 teraju ini melambangkan 3 bahagian Empayar Srivijaya (negara-negara daratan, negara-negara kepulauan dan negara pusat) yang mana semua ketiga-tiga bahagian ini dikawal oleh satu empayar, iaitu empayar Srivijaya.

17. Selain daripada susuran dari hikayat Dewa Muda, terdapat juga kisah-kisah rakyat yang mengatakan bahawa wau secara umumnya berasal daripada Kembayat, negara Siti Zubaidah yang menjadi watak utama didalam Syair Siti Zubaidah. Saya membedah dengan lanjut. Saya mendapati terdapat beberapa pendapat yang mengatakan bahawa Kembayat adalah nama lama kepada Champa/Kemboja.

18. Mengikut beberapa pendapat bukan sarjana, Kembayat adalah tempat tinggal seorang watak yang tidak asing lagi kepada penggemar sejarah Melayu alternatif, iaitu Keturah, individu yang dikatakan sebagai isteri ketiga Nabi Ibrahim Alaihissalam selepas Sarah dan Hajar. Nama Keturah dan enam zuriatnya ada disebut didalam Kitab Injil (Genesis 25:1 dan Chronicles 1:32). Dan wau yang digunakan oleh Dewa Muda adalah wau yang berasal dari Kembayat, yang dipanggil Wau Lenggang Kembayat. Sejauh mana kebenaranya, Wallahu A'alam.

19. Menarik bukan?


16 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Salam rodonc.. Memang menarik. Salam perkenalan dari seorang lagi non-partisan yang mahu menyedarkan semua Melayu yang Melayu itu bukan kotak PAS-UMNO sahaja.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Tuan Don Balon. Terima kasih kerana sudi melawat. Bukan maksud untuk berpolitik tapi saya sedih dengan bangsa kita.

      Delete
    2. Bagusnya artikal ni Amt membantu dlm pelaksanaan kajian sy

      Delete
  3. Keong Emas?Huhu...macam tajuk sinetron aja.Terima Benign atas artikel ini.Work hard lagi tau!


    ~SK

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada tajuk sinetron ke SK? Kalau tak silap Keong Emas ni cerita rakyat jawa tentang putra raja yang jatuh cinta kepada seorang puteri yang bertukar menjadi seekor siput sedut yang berwarna emas.

      Delete
  4. Satu artikel yang menarik....samaada ianya satu mitos, lagenda atau apa saja, ianya tetap menarik....terima kasih...salam...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam, terima kasih kerana sudi melawat tuan.

      Delete
  5. trfikir pula, bahan2 lain mudah di cari, tapi di abad ke 6 Srivijaya, ape jenis tali yang ringan sampai wau boleh diapungkan???

    ReplyDelete
    Replies
    1. Persoalan menarik... mungkin jenis tali yang sama yang digunakan untuk membuat jala. Nelayan dah menjala dan memukat dari zaman berzaman.. tak terfikir pula tentang jenis tali yang diguna.. menarik

      Delete
  6. WOW!!!

    tak sangka pula wau tu panjang cerita nya. tapi kalau gitu cerita nya pusat Sriwijaya terletak di Semenanjung lah bukan di bahagian kepulauan. agak-agak tu tahun bila?

    Oleh kerana seorang yang bergelar SK tu suruh Tuan kerja lebih kuat lagi apakata kalau Tuan selidiki pula kisah nya gunung daik bercabang tiga atau julai juli bintang tujuh?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana melawat tuan.. tentang pusat Srivijaya tu sebenarnya, masih diperdebatkan. Namun begitu pendapat yang paling popular sebagaimana yang tuan tahu adalah di Sumatera. Namun kecemerlangan empayar Kedah Tua, tidak boleh ditolak ketepi. Sejauh mana hubungan Empayar Kalah-Bar dengan Srivijaya masih belum saya gali dengan lebih lanjut.. namun mengikut rekod dan kajian, apabila Srivijaya mencemerlangkan empayarnya, Kalah-Bar (Kedah) turut tersenarai didalam kekuasaannya.

      Gunung Daik? Ada kisah menarikkah? Jula Juli Bintang Tiga bukankah cerita klasik? Ada kisah juga ke? Menarik ni.. Terima kasih tuan..

      Delete
    2. Perenggan 15 ada menjelaskan Negeri Nusa Kencana yang terletak bukan di utara ia-itu negeri-negeri yang bercantum dengan Tanah besar Asia atau di bahagian kepulauan di selatan sebagai pusat empayar. semestinya di Semenanjung kan.

      sesetengah orang ada berkata bahawa kerajaan dewa-dewa kayangan memang ada tetapi semenjak keputeraan Rasulullaahi shalalaahu alaihi wassalaam kerajaan mereka di naikkan jauh keatas hingga tak tercapai oleh mata untuk memandang.

      'hancur badan di kandung tanah'
      'budi yang baik di kenang jua'

      pantun ni berkaitan dengan Gunung Daik. saya kira tentu ada cerita sebalik nya tetapi saya tidak tahu apa ceritanya. kalau tuan dapat mencari cerita nya alangkah baiknya..

      Delete
    3. bersetuju dgn kowloon... sy pon ada terfikir tentang gunung daik.. n pernah menggoogle gunung daik ini... pepatah melayu bukan dicetus oleh sembarangan... kerana org yg mengungkapnya sepanjang zaman boleh jadi para bangsawan ataupun raja2... dr pepatah dan syair lah bangsa kita bercerita ttg sejarah.. taktik perang...dan segalanya... perbendaharaan emas semenanjung pon bleh kita jumpa... yang mungkin org2 tua istana yg menimpan rahsianya...

      Delete