15 January 2011

Prakata: Mencari Asal Usul dan Susur Galur Melayu.

1- Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada sesiapa sahaja yang terbaca blog ini dan terima kasih kerana meluangkan masa. Selamat datang diucapkan ke blog SusorGalor, sebuah blog yang nawaitunya adalah untuk merekod hasil pembacaan penulis tentang asal usul dan susur galor bangsa melayu dan juga misteri-misteri yang tersurat dan yang tersirat berkenaan dengan alam melayu. Insya Allah.


2- Pertama sekali, hasil kajian melalui pembacaan yang bakal direkodkan didalam SusorGalor, yang mana rata-ratanya lebih kepada kajian dan hipotesis berkenaan dengan asal usul dan juga misteri bangsa dan alam melayu ini bukanlah bertujuan untuk di megah-megahkan. Ia hanya sekadar untuk membangkitkan semangat jati diri anak bangsa serta sebagai pengetahuan am buat mereka-mereka yang sudi membaca.

3- Terlebih dahulu, ingin saya ingatkan disini bahawa hasil-hasil tulisan yang bakal dikumpulkan didalam SusorGalor, bukan lah kajian saya dalam erti kata sebenar. Saya bukan seorang pengkaji yang berkelayakan malah pendapat saya tidak mempunyai nilai didalam dunia sarjana dan cendekia sejarah. Saya cuma seorang anak muda yang suka membaca, lebih-lebih lagi berkenaan dengan sejarah dan misteri bangsa saya, bangsa melayu.

4- Tidak ada apa yang perlu dimegah-megahkan dengan bangsa. Didalam agama Islam yang indah ini juga tidak pernah melebih-lebihkan darjat seseorang manusia itu dengan pencapaian dan kehebatan bangsanya. Taraf kita semua adalah hamba abdi kepada Sang Pencipta semata-mata. Yang agung hanya Dia.

5- Namun demikian, tidak menjadi kesalahan untuk kita mengkaji dan mendalami sejarah  dan misteri bangsa apatah lagi kita sememangnya disarankan untuk mengambil iktibar dari bangsa-bangsa yang telah pupus dengan mempelajari sejarah-sejarah mereka.

6- Minat saya mula tersemai melalui pembacaan blog-blog terkemuka yang sering menjadi medan percambahan ilmu pengetahuan seperti Mistisfiles dan LokalGenius. Melalui kedua-dua blog ini juga lah yang menjadi inspirasi buat saya untuk mencoretkan serba sedikit hasil-hasil pembacaan, hasil-hasil rujukan dari sumber-sumber yang diberikan dan juga pendapat-pendapat dari pelawat-pelawat yang sentiasa membuka lebih banyak pintu-pintu persoalan yang sememangnya amat-amat menarik untuk dibuka.

7- Saya sentiasa tertanya-tanya tentang misteri dan sejarah tentang tamadun-tamadun kuno yang seringkali dikaitkan dengan bangsa melayu, tamadun kuno Lembah Bujang sebagai contoh. Begitu juga halnya tentang misteri-misteri yang menyelubungi empayar-empayar melayu lama seperti Srivijaya, Gangga Negara, Tambralingga, Sailendra, Langkasuka, Chermin dan sebagainya termasuklah empayar melayu Melaka.

8- Bagaimana pula tentang persoalan siapakah dia Prester John yang dikisahkan mempunyai kerajaan di Asia Tenggara yang sangat kaya dengan emas. Siapakah pula Maharaja Zabag? Siapa pula Merong Mahawangsa? Oh, terlalu banyak persoalan-persoalan menarik untuk dikupas, ditelaah dan diolah untuk tatapan kita bersama. Yang pastinya, persoalan-persoalan ini adalah hipotesis-hipotesis yang sentiasa terbuka kepada perdebatan dan perbincangan yang lebih dalam dan yang pasti membuka lebih banyak pintu-pintu rahsia dan pengetahuan-pengetahuan yang mengujakan.

9- Hasil yang terbaik adalah apabila sekiranya hasil-hasil dari pembacaan dan pencerahan berkenaan dengan bangsa melayu ini dapat membuatkan kita mula berminat untuk membuat penyelidikan dan kajian sendiri. Ianya pasti akan membuka lebih banyak pintu-pintu ilmu dan pengetahuan yang boleh dikongsi bersama.

10- Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, kita mulakan pengajian tentang misteri dan sejarah bangsa kita, bangsa melayu.

5 comments:

  1. Salam Benign,

    Gaya persembahan artikel-artikel kamu ini semacam chedetlah? Simple n padat! Susunan bahasanya tersusun dan sampai ke objektif tajuk kecil artikel kamu. Tahniah!

    Saya ada cadangan kepada kamu. Pohon pertimbangkan cadangan ini sebaik-baiknya.


    Setelah saya baca beberapa artikel kamu (semasa saya menulis pendapat ini sudah ada tujuh artikel), dipohon supaya Benign JANGAN LUPA membuat ULASAN terhadap sumber-sumber sejarah Melayu sebagai contohnya Sulatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, "La Galigo", "Pararaton" atau ULASAN terhadap kajian pengkaji TEMPATAN NUSANTARA. Kebanyakan sumber yang Benign baca dan ULAS bersumberkan kajian BARAT dan bukan TIMUR.

    Dipohon pertimbangkan.

    M_M

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Tuan..

    Sebenarnya saya rujuk apa sahaja sumber yang saya dapat tak kira barat atau timur. Cuma kebetulan setakat ini sumber yang saya rujuk ini mudah ditemui... di Google books.

    Cadangan Tuan tidak perlu saya pertimbangkan, kerana saya pasti akan menggunakan sumber sumber ini sekiranya saya dapat mencarinya. Tiada yang perlu dipertimbangkan kerana wajib saya rujuk kitab kitab dan manuskrip yang Tuan syorkan..

    Terima kasih kerana mengingatkan saya..

    ReplyDelete
  3. Sebagai contoh, dalam pembacaan untuk menyiapkan entri saya tentang senjata api Melayu, saya ada terjumpa buku buku hasial kajian dari Nusantara. Sebagai contoh buku bertajuk Atjeh Sepanjang Abad tulisan Mohammed Said yang diterbitkan pada tahun 1961 yang ada bercerita tentang meriam meriam aceh dan Meriam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu Nusantara tulisan Othman Yatim dan Zamberi Malek. Tapi buku buku ini tidak dapat saya access.. sungguh sayang.. namun Tuan, saya akan cuba mencari dan merujuk lebih banyak sumber dari Nusantara. Insya Allah.

    ReplyDelete